Azam Fasha Sandha tahun 2011 untuk mengurangkan imej seksi

Saturday, January 01, 2011 by

PENGLIBATAN aktres Fasha Sandha dalam dunia seni baru menjangkau usia enam tahun, tetapi boleh dikatakan dia merupakan aktres paling banyak muncul di muka depan akhbar tempatan kerana kontroversi hangat yang dicetuskannya.
Sebelum hangat dengan isu merampas suami aktres Nora Danish, Toh Muda Rizal Ashram atau Jejai lagi, Fasha sudah dicop sebagai perampas kekasih orang tetapi namanya semakin panas apabila berperang mulut dengan Nora Danish dan Tiz Zaqiyah sehinggalah dia membuat pengakuan secara rasmi hatinya milik Jejai pada Julai lalu.
Sejak pengakuan cinta itu dibuat, nama Fasha mula bersih apabila masyarakat menerima status baru Fasha tersebut dengan hati terbuka dan dia kembali menjadi buruan pihak penerbit selepas berehat hampir setahun kerana dipulaukan pihak media.
Fasha yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini menghembuskan nafas lega kerana dirinya telah diterima kembali oleh masyarakat meskipun masih ada yang mencemuh. Akuinya tahun 2010 ditinggalkan dengan penuh kemanisan. Azamnya tahun untuk tahun 2011 adalah mengurangkan imej seksi. Disoal mengapa? Jawab Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, azam itu timbul kerana peminatnya.
"Tahun ini tahun terakhir saya berimej seksi, tahun depan saya akan kurang seksi atas pemintaan peminat kerana mereka tidak suka melihat saya memakai pakaian yang terlalu terdedah. Jatuh dan bangun saya dalam dunia seni kerana peminat.
"Peminat merupakan tulang belakang nombor satu dalam kerjaya saya. Apabila sering ditegur saya sedar sesuatu perubahan perlu dilakukan dan saya tidak lagi memakai mini skirt. Saya mula dalam dunia seni sebagai model dan sudah terbiasa menyarungkan apa jua pakaian yang disediakan tetapi selepas ini seksi saya ada batas,"ujarnya.

AKTRES ini bakal muncul dengan dua buah filem di tahun 2011 iaitu Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila dan Sini Ada Hantu arahan James Lee.


Ditebak lagi, mungkinkah keputusan itu dibuat atas permintaan kekasihnya? Kata Fasha, keputusannya untuk kurang seksi bukanlah paksaan daripada sesiapa.
"Tiada siapa paksa kerana saya lakukannya dengan rela hati. Saya mengambil nasihat daripada peminat dan saya jadikan Erra Fazira sebagai contoh dalam penampilan, dia bijak bergaya tetapi tidak seksi. Selain itu, usia saya semakin bertambah, tidak elok untuk saya memakai baju terlalu terdedah," jawabnya yang mendapat sokongan penuh keluarganya untuk perubahan tersebut.
Model tudung
Fasha yang dalam proses perbincangan untuk menjadi model tudung satu jenama terkenal memberitahu, dia masih Fasha Sandha yang sama cuma penampilannya sahaja bakal berubah.
"Saya masih Fasha Sandha yang sama, saya lakukan perubahan secara perlahan-lahan ke arah menjadi manusia yang lebih baik. Dalam masa terdekat ini saya selesa untuk katakan saya akan kurangkan seksi, untuk memakai tudung biarlah perkara itu terjadi secara semula jadi tanpa paksaan mana-mana pihak," luah aktres kelahiran Johor Bahru itu lagi.
Tahun 2010 juga merupakan tahun yang cukup bermakna bagi Fasha apabila dia secara rasminya menjadi kekasih kepada Jejai setelah sekian lama berdolak-dalik mengenai status hubungan mereka.
Pada usia 26 tahun, percintaannya dengan Jejai, 34, diketahui umum apabila Jejai membuat kejutan dengan melawat Fasha di set penggambaran drama Duyung Aridinata dengan menaiki helikopter ke Pulau Lang Tengah, Terengganu sekitar bulan Mei diikuti dengan pengakuan cinta daripada Fasha dan Jejai sendiri pada Julai lalu.
Sejak itu, ramai pula bertanyakan tarikh perkahwinan mereka memandangkan sebelum ini heboh diperkatakan perihal pasangan ini bakal bernikah. Bagi Fasha, segala kejadian yang berlaku ada hikmah sebaliknya.
"Sekarang saya bahagia dan gembira dengan kehidupan yang saya miliki. Saya sudah umumkan hubungan kami dan saya bersyukur kerana peminat dan pihak media sudah boleh menerimanya. Saya rasa lega kerana tidak perlu lagi bercinta sorok-sorok," ucapnya lagi.
Akui wanita yang berketinggian 168 sentimeter ini, dia kini sudah bersedia untuk bergelar isteri bagaimanapun menegaskan bahawa soal perkahwinan masih belum ada dalam perancangannya.

BERAZAM untuk meninggalkan zaman solonga sebelum usia mencecah 30 tahun.


"Saya tidak tahu apa akan terjadi esok tetapi buat masa ini kami belum berbincang perihal kahwin. Rasanya perkahwinan masih terlalu jauh kerana perkara paling utama adalah kerjaya saya sekarang.
"Kalau ikutkan perancangan, saya ingin mendirikan rumah tangga sebelum usia 30 tahun. Jika umur saya 30 tahun sekarang ini, mungkin saya akan risau tentang perkahwinan.
"Rasanya sudah terlalu banyak saya bercakap tentang Jejai setiap kali ditemubual, jadi rasanya lebih baik tahun depan saya beri fokus kepada kerjaya berbanding kisah peribadi,"bicaranya mengharapkan percintaannya itu berkekalan.
Chinta lonjakkan nama
Imej Fasha yang tercalar dek kontroversi nampaknya berjaya dipulihkan. Wajahnya semakin kerap menghiasi kaca televisyen juga sibuk dengan sesi fotografi. Ujarnya. tinggal beberapa hari sahaja dirinya akan bercuti bersama teman-temannya tetapi jadualnya dipenuhi sesi fotografi.
Profil lakonannya juga semakin baik, drama bersiri Chinta berjaya melonjakkan namanya sebagai aktres yang berbakat selepas dia pernah mencetuskan fenomena dengan drama Natasha.

FASHA menamakan peminat sebagai tulang belakang nombor satu dalam kerjayanya kini.


"Sudah lama saya menunggu untuk peminat memanggil saya dengan nama watak saya. Selepas Natasha, sekarang peminat panggil saya dengan nama Chinta, itu satu kepuasan buat saya. Maknanya karakter saya meninggalkan kesan.
"Kini, saya sudah boleh pilih skrip. Kalau watak itu bakal meninggalkan kesan, saya buat. Saya tidak mahu mengambil semua tawaran tanpa memikirkan impaknya, jadi saya memilih demi profil sebagai pelakon,"tuturnya.
Fasha juga berazam untuk menjadi orang yang lebih baik serta memiliki kerjaya lakonan yang cemerlang sepanjang tahun 2011.
"Terlalu banyak pengalaman tetapi masih banyak harus dipelajari untuk untuk bergelar pelakon yang berjaya. Tahun 2010 saya tinggalkan dengan kebahagian saya berharap saya dapat bawa tuah saya ke tahun 2011," luahnya mengakhiri bicara manis 2010.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com