'Ngangkung' Pecah Rekod Dengan Kutipan RM8 juta

Wednesday, December 22, 2010 by


PETALING JAYA: Syarikat produksi Metrowealth (MiG) sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian kutipan pecah panggung filem Malaysia apabila Ngangkung berjaya mengutip sebanyak RM8 juta selepas empat minggu ditayangkan.
Kutipan tersebut sekali gus menjadikan Ngangkung sebagai filem Melayu yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi setakat ini.
Filem komedi seram yang mula ditayangkan pada 25 November lalu itu turut mengatasi rekod filem Adnan Sempit yang mengutip sebanyak RM7.8 juta.

Pengarah Ngangkung Ismail Hasim (dua, kiri) bersama tiga bintang utama Azad Jasmin (paling kiri), Shaheizy Sam (dua, kanan) dan Angah Raja Lawak.

Lebih membanggakan, jumlah ini berjaya dikutip dalam tempoh sebulan berbanding tempoh 6 minggu bagi filem Adnan Sempit. Jumlah tersebut termasuk kutipan daripada pawagam bebas.
Selepas empat minggu di pawagam, Ngangkung masih menerima sokongan berterusan daripada penonton. Sokongan ini amat dialu-alukan bagi mencapai sasaran 1 juta penonton yang disarankan oleh pihak kerajaan.
Terdahulu, filem arahan Ismail Hasim atau Bob ini melakarkan sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan minggu pertama tertinggi dalam sejarah filem Melayu iaitu RM3.7 juta.
Dalam kerancakan filem Malaysia ditayangkan setiap minggu sempena musim cuti sekolah, Ngangkung dilihat konsisten menguasai pawagam bersaing pula dengan filem-filem besar dari Hollywood.
Filem terbitan MiG ke-42 ini dijayakan oleh Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Azad Jazmin, Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet dan ramai lagi.
Tahun 2011 akan menyaksikan lebih banyak filem terbitan MiG menjengah pawagam termasuk Kembar Siang (2 Feb 2011), Kongsi, 3 2 1 Cinta, Sekali Lagi, Senario Ops Pocot dan Keramat.-mstar

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com