Kajol Teruja Dengan Sikap Ramah Dan Sopan Rakyat Malaysia

Kajol yang pertama kali berkunjung ke Malaysia cukup teruja dengan keramahan peminatnya yang disifatkan cukup sopan.


KUALA LUMPUR: Pelakon Bollywod, Kajol menjelaskan sifat ramah dan sikap sopan santun adalah sesuatu yang istimewa mengenai penduduk berbilang kaum negara ini.

Kajol, 40, berkata, kunjung pertamanya ke Malaysia benar-benar membuatkan dia berasa teruja dengan sikap mereka itu.

"Sejak saya sampai ke Kuala Lumpur ramai peminat yang menyapa dan melambai tangan ke arah saya. Paling saya hargai mereka peramah dan paling penting penuh sopan santun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh pelakon Lisa Surihani pada majlis pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD (saluran 251) di Hotel JW Marriot di sini pada malam Rabu.

Selain Kajol, aktor Aaron Aziz turut serta pada pelancaran berkenaan.


Kajol kelihatan ceria ketika ditemubual oleh pelakon Lisa Surihani.
 
Pelakon itu dijemput khas bagi melancarkan saluran berkenaan yang mengkhususkan penyiaran filem-filem dari Bollywood.

Kajol tidak ditemani suaminya iaitu Ajay Devgan.

Dalam pada itu menerusi temubual berkenaan Kajol turut menceritakan filem lakonannya bersama Shah Rukh Khan iaitu Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) pada 1998 adalah memori terbaiknya sepanjang dia bergelar pelakon.

Katanya, filem itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam pada dirinya tetapi juga peminat KKHH yang masih meminati karya tersebut sehingga hari ini.


"Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya dan ia bukan sekadar filem tetapi adalah memori terbaik dalam hidup saya,"menurut Kajol.
 

"Sehingga ke hari ini perasaan seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain dapat dirasai dan saya amat bersyukur ia masih kekal di hati peminat," katanya.

Tambah Kajol, dia tidak dapat membayangkan pelakon wanita lain melakonkan watak Anjali dalam KKHH kerana peranan itu dekat di hatinya.


 
Kajol melancarkan saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD 251 yang mengkhususkan penyiaran program eksklusif dari Bollywood.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran saluran  BollyOne HDl, Kajol berkata, ia satu tindakan baik selain memberi peluang kepada peminat yang menggemari filem dari India.

Jelas Kajol, keunikan filem-filem dari Bollywood membuatkan penonton menggemarinya dan dia yakin saluran itu akan mendapat sambutan hangat.

"Peminat filem Bollywood pasti akan teruja dengan saluran itu dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hebat.

"Biarpun berbeza bahasa namun penonton masih boleh meminati karya-karya dari India kerana ia istimewa dan penuh warna," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kajol berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem terbaharunya dengan membawakan watak isteri mafia.

Selain itu, Kajol akan kembali bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi sebuah filem arahan Rohit Shetty.

Selain KKHH, Kajol juga popular menerusi  filem seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kabhi Kushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.

(Kredit: mStar Online)

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com