Kumpulan Search Tidak Pedulikan Yazid Yang Terlantar Sakit??

Kumpulan Search. Dari kiri; Yazid, Nasir, Kid dan Amy.

 

PETALING JAYA: Kumpulan Search menyifatkan tuduhan pemain dram kumpulan berkenaan iaitu Yazid Ahmad, 51, yang kecewa kerana tidak dipedulikan oleh ahli-ahlinya selepas terlantar sakit hanyalah kata-kata bersifat emosi.

Pemain besnya, Nasir Daud berkata, ahli-ahli Search tidak pernah mengabaikan Yazid tetapi keadaan yang menyebabkan mereka terlewat melawatnya di hospital.

"Sebenarnya dia sudah memberitahu saya yang dia dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Johor pada minggu lalu. Tetapi masa itu kami tak sempat nak melawat, maklumlah masing-masing tengah sibuk dengan urusan keluarga dan Hari Raya. Saya pula berada di Mersing (Johor).

"Kemudian semalam (Rabu), saya hubunginya untuk melawat, dia pula kata sudah berada di HKL (Hospital Kuala Lumpur). Dan kami ada berborak bercerita tentang hal-hal kerja. Dia tak ada pula bercakap tentang rasa kecewanya itu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Nasir diminta mengulas luahan Yazid dalam sebuah akhbar pada Khamis yang kecewa apabila ahli-ahli Search tidak melawatnya yang sedang dirawat di HKL akibat menderita sakit buah pinggang.



Yazid (kanan) disamping rakan-rakan yang melawatnya di HKL pada Rabu.
 

Yazid dilaporkan berkata, ketika sakit, beliau seperti dibuang ke tepi longkang.

Pada Sabtu lalu Yazid dikatakan rebah ketika umat Islam menyambut Syawal ketiga di rumah keluarganya di Kluang, Johor dan terpaksa dipindahkan dari Hospital Johor Bahru ke HKL pada hari yang sama.

Dalam pada itu Nasir berkata, kenyataan yang dibuat Yazid itu mungkin ketika dia sedang beremosi akibat tekanan daripada sakit berkenaan.

Bagaimanapun Nasir tidak berasa hati dengan luahan rakannya itu kerana sudah memahami sifat Yazid sejak sekian lama.

"Mungkin ketika wartawan bertanya, fikirannya terganggu. Maka terkeluarlah kata-kata yang kononnya kami ini tidak prihatin dengannya. Biasalah, orang sakit senang beremosi," ujarnya.

Yazid yang menghidapi penyakit buah pinggang dan darah tinggi pernah dirawat di Hospital Ampang tiga tahun lalu dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat penyakit berkenaan.

Sementara itu, vokalisnya, Amy dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) berkata, dia dan keluarga akan melawat Yazid selepas agenda lawatan cuti Hari raya mereka pada minggu ini selesai.

Amy berkata, ketika Yazid dimasukkan ke hospital, dia sedang sibuk berhari raya dan sudah tentu tidak berkesempatan melawat rakannya itu.

"Semasa dia menghubungi saya yang dia dimasukkan ke wad, saya dan keluarga baru balik dari Kulim, Kedah dan sekarang ini saya berada di Pulau Pinang membawa anak-anak bercuti sehingga hujung minggu ini.

"Insya-Allah kami akan melawatnya dan kami tidak pernah membuang Yazid yang sudah pun menjadi ahli keluarga sendiri," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK


0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com