Erra Fazira Minta Peserta Ratu Cantik Beragama Islam Akur Larangan

Empat gadis Islam yang telah dibatalkan penyertaan menyertai pertandingan akhir MMW2013. 

PETALING JAYA: Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam.

"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka panjang.

"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.

"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya.


Erra Fazira


Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan.

Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.

Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.

Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan tersebut.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian membabitkan wanita Islam.

"Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian.

"Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam melontarkan pendapat.

"Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata, tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com