Wan Nor Azlin
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pelakon Wan Nor Azlin untuk mengenepikan writ saman difailkan oleh bapanya bagi mendapatkan perintah pengosongan sebuah rumah di Taman Sri Keramat yang merupakan harta sepancarian dengan arwah ibunya.
Hakim Rosilah Yop menolak permohonan Wan Nor Azlin dengan kos sebanyak RM2,000 dalam kamar beliau di sini semalam.
Peguam Nuraini Atiqah Abdul Aziz yang mewakili Wan Nor Azlin, 45, dan Razila Rashid bagi pihak Wan Mohd. Husain, 76, hadir mendengar keputusan itu.
Sementara itu Nuraini ketika ditemui berkata, mahkamah membuat keputusannya selepas memutuskan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman itu.
Dalam permohonannya untuk membatalkan saman difailkan Wan Mohd. Husain pada 20 Mac lalu, Wan Nor Azlin berkata, mahkamah tiada bidang kuasa ke atasnya kerana terdapat perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berhubung tuntutan bapanya.
Berdasarkan afidavit difailkan Wan Mohd Husain, 76, dia mendakwa tinggal di rumah itu bersama isterinya sehingga wanita itu meninggal dunia pada 2008.
Selepas isterinya meninggal dunia, Wan Mohd Husain mengajak Wan Nor Azlin tinggal bersama dan anaknya tidak pernah membayar sewa bulanan atau sebarang bil.
Pada pertengahan 2011, Wan Mohd Husain mahu menjual rumah itu dan meminta anaknya mengosongkan rumah bagi memudahkan proses itu.
Bagaimanapun Wan Mohd Husain berkata, Wan Nor Azlin gagal berbuat demikian dan mendakwa dia mempunyai kepentingan dalam rumah itu kerana ada memasang kabinet dapur dan almari.
Wan Mohd Husain mendakwa selain membuat gangguan terhadap proses jual beli rumah itu, Wan Nor Azlin juga mendapatkan kaveat persendirian terhadap rumah itu.Tindakan itu menyebabkan Wan Mohd Husain trauma dan terpaksa menyewa rumah lain.
Oleh itu, Wan Mohd Husain memohon perintah Mahkamah bagi mendapatkan hak milikan rumah itu, membatalkan kaveat tanah yang dibuat Wan Nor Azlin, ganti rugi dan kos lain.
Sementara itu, pada 21 Mac lalu, Wan Nor Azlin memohon untuk mendapatkan deklarasi bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam memutuskan perihal rumah itu.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com