Tahniah!! Rosyam Nor Terima Ijazah Kehormat Sarjana Seni

Rosyam menerima Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bersempena Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti Malaysia Kelantan, Sabtu lalu.


PETALING JAYA: Aktor terkenal Rosyam Nor berkata penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Sabtu lalu membuktikan kerja kerasnya selama 26 tahun dalam bidang seni diiktiraf ahli akademik.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 45, berkata, dia berharap pengiktirafan itu akan menjadi iktibar kepada khalayak umum terutamanya generasi muda agar rajin berusaha dalam apa jua lapangan kerja walaupun tanpa kelulusan yang tinggi.

“Saya masih terkejut dan tersentuh dengan penganugerahan (ijazah kehormat) ini. Saya tidak sangka usaha saya pada cabang seni selama 26 tahun dihargai dan mendapat perhatian ahli akademik.

“Kalau diikutkan kelulusan, siapalah saya tetapi apabila lebih 30 ahli senat UMK memberikan pengiktirafan ini, saya berbesar hati menerimanya. Saya harap ia menjadi iktibar kepada golongan muda untuk bekerja keras,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.

Ijazah tersebut disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Kota Bharu, Kelantan bersempena Majlis Konvokesyen kali kedua UMK, pada Sabtu lalu.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 itu berkata, penganugerahan itu juga membawa perubahan besar pada landskap dunia seni tanah air yang selama ini dianggap sinis dan tidak mempunyai masa depan oleh segelintir pihak.

“Penganugerahan sebegini kepada anak seni membawa perubahan besar kepada dunia hiburan. Jika dulu, dunia seni tanah air kita kecil dan dipandang remeh tetapi pada hari ini ia semakin berkembang dan mendapat pengiktirafan golongan profesional dan akademik.

“Ia adalah perkembangan yang baik untuk anak-anak seni kerana cabang industri ini. Yang penting, kita pelu bekerja keras dan tidak kenal erti mengalah,” katanya.

Pelakon yang kini bergelar usahawan itu berkata, dia berharap penganugerahan tersebut akan mengukuhkan kepercayaan badan profesional dan kerajaan dalam memberikan peluang untuk dia menyampaikan ceramah berkaitan bidang keusahawan.

“Memang saya kerap dijemput untuk menyampaikan ceramah dan taklimat sebagai anak seni dan usahawan pada acara-acara badan kerajaan dan swasta kebelakangan ini.

“Saya berharap penganugerahan ini akan lebih meyakinkan khalayak agar dapat saya berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada selama 26 tahun dalam bidang seni,” katanya.

Drama rantaian popular lakonan dan terbitannya berjudul Trilogi Cinta 2 kini ditayangkan pada setiap Khamis dan Jumaat pukul 10 malam di TV1.

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com