Mamat Sepah Sedang Menderita Penyakit Misteri?


KUALA LUMPUR – Pelawak, Mohd Noor Murad, 27, atau lebih dikenali sebagai Mamat Sepah mengakui sedang menderita dengan penyakit aneh yang dialaminya sejak beberapa bulan yang lalu.

Sejak dirinya diserang sakit, Mamat kerap kali berasa tidak selesa dengan keadaannya yang bertambah lemah sekiranya waktu Maghrib menjelma hinggakan tidur malamnya terganggu.

Mamat juga pernah berjumpa dan mendapatkan rawatan doktor untuk merawat sakitnya itu, tetapi keputusan menunjukkan dirinya sihat dan bebas dari sebarang penyakit.

Mamat turut mengakui, dia tidak pernah mengalami sakit yang pelik seumur hidupnya sehingga merasa sendiri setiap makanan yang dijamahnya berasa seperti kaca dan tekaknya menjadi pedih.
“Saya sudah mula rasa penyakit aneh ini sejak beberapa bulan lalu. Saya sentiasa akan rasa lemah ketika waktu magrib sehingga ke malam dan telah menyebabkan saya tidak boleh tidur.

“Namun setelah berjumpa dengan doktor, saya hanya diberikan vitamin dan disahkan tidak mempunyai penyakit yang serius.

“Terus-terang, seumur hidup, saya tidak pernah mengalami rasa sakit sebegini sehingga apabila apa jua makanan yang masuk ke mulut saya akan rasa pedih seperti menelan kaca. Saya harap sangat saya dapat kembali sihat seperti biasa,” katanya seperti dalam portal Murai.com.

Ekoran dari sakit yang teruk itu, Mamat terpaksa menolak banyak tawaran lakonan yang diterima kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen yang penuh serta tidak mahu kerjayanya terjejas.

“Saya terpaksa menolaknya kerana saya takut saya tidak dapat berikan yang terbaik disebabkan gangguan penyakit yang saya alami.

“Saya pun baru sahaja habis dubbing untuk filem animasi Bola Kampung. Itu pun saya mengalami kesukaran untuk melakukannya kerana suara saya seakan-akan hilang dan susah untuk keluar dengan baik.

“Jadi kini lebih baik saya tumpukan pada perubatan saya dahulu dan selepas kembali pulih baru saya dapat meneruskan kerja-kerja lain,” kata Mamat.

Bagi jejaka yang sekarang ini kerap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan tradisional, dia tidak mahu berfikir dan menganggap dirinya terkena buatan orang kerana dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Ramai pihak termasuk orang yang mengubati saya di kampung berkata dia melihat saya seperti sudah terkena buatan orang dan orang itu adalah orang yang paling baik dan rapat dengan saya.

“Saya tidak mahu mempercayai sepenuhnya jangkaan mereka kerana saya sendiri tidak dapat bezakan orang disekeliling saya sedang bermusuh dengan saya atau tidak,” katanya.

Justeru itu, Mamat berharap penyakit anehnya itu akan segera sembuh dan dapat bekerja seperti biasa.

Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com