Joey Dan Watie Elite Sedang Diulit Bahagia

WATIE dan Joey sudah bernikah selama tiga bulan dan pernikahan mereka berlangsung di kediaman Watie di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, bukannya di Thailand seperti yang didakwa.
KISAH hubungan cinta antara Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali dengan Joey atau Zulkifli Daud bukan kisah baharu. Ia sudah lama diperkatakan sejak tahun lalu. Penyebab kisah cinta mereka menjadi hangat adalah kerana pada ketika percintaan mereka sedang dalam fasa pasangan kekasih, Watie dituduh menjadi punca retak rumah tangga Joey dengan Noraini Mohamad Nasir sehingga mereka bercerai.

Selepas bertubi-tubi dilanda badai mengenai cinta mereka, kisah itu senyap seketika. Ia kembali membadai apabila Watie dan Joey tiba-tiba didakwa sudah berkahwin secara rahsia pada tahun lalu. Baik Watie mahupun Joey, mereka menafikan berita tersebut.

Malah sewaktu ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Cinema Studio keluaran Cinema Secrets yang bertempat di Centro Mall, Klang, Selangor, pasangan bahagia ini menolak dakwaan mereka berkahwin lari di Thailand seperti yang didakwa segelintir pihak. Bagaimanapun Watie mengaku ia juga adalah kesilapan mereka kerana menyembunyikan berita pernikahan mereka sehingga menimbulkan fitnah bagi pihak yang tidak menyenangi hubungan mereka berdua.

"Untuk kami tiada istilah menyorok atau kahwin lari seperti yang didakwa. Itu semua mulut orang dan anggap sahaja begini, biar saya uruskan dengan Tuhan dahulu, kemudian baru manusia," ujar Joey tegas.

Menyokong kenyataan yang diberikan suaminya, Watie juga menjelaskan tiada sebab untuk mereka mahu melangsungkan perkahwinan dengan cara yang tidak betul. Ini kerana perhubungan dan perkahwinan mereka direstui keluarga.

"Tapi mungkin tidak salah juga kepada sesiapa yang membuat fitnah kerana memang saya akui kami menjalankan pernikahan secara senyap-senyap dan hanya dihadiri oleh kaum keluarga yang terdekat sahaja," tutur Watie yang kelihatan tenang menjawab persoalan yang diberikan.

Ditanya bila tarikh sebenar dan lokasi pernikahan mereka, pasangan ini tidak mendedahkan tarikh sebenar majlis penuh erti bagi mereka berdua itu.

Namun Watie tidak lokek untuk berkongsi sedikit saat bahagia mereka. Ujar Watie, dia dilamar Joey untuk menjadi isterinya pada hari ulang tahun ke-35, tahun lalu di hadapan ibu Joey.

"Kemudian kami telah bernikah sekitar tiga bulan lalu dan pernikahan berlangsung di kediaman saya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur," kongsi Watie yang kelihatan begitu romantik dan manja di samping suaminya itu.

Cemburu

Beralih cerita tentang kebahagiaan hidup sebagai pasangan suami isteri, Joey begitu teruja berkongsi kisah. Tanpa berselindung dia memberitahu begitu mencemburui Watie kerana isterinya itu kini menjadi kesayangan ibunya.


WATIE menyifatkan suaminya, Joey sebagai seorang yang pandai mengambil hatinya dan pendorong kuat untuk dia menjalani kehidupan dengan tabah.

"Lebih membuat saya bahagia kerana kini banyak perubahan positif yang berlaku dalam hidup saya. Saya juga rasa dihargai dengan kehadiran Watie sebagai isteri saya," ujar Joey bersungguh-sungguh.

Vokalis grup Exists dan pelakon itu juga menambah, kehidupannya juga semakin teratur dengan kehadiran Watie sebagai isteri. Katanya, walaupun Watie sibuk, namun dia tetap menjalankan kewajipan sebagai isteri dengan baik.

Namun lain pula cerita Watie yang mengatakan hidupnya semakin sibuk memikul tanggungjawab sebagai isteri setelah lapan tahun hidup sendiri.

"Semenjak bergelar isteri, kehidupan saya memang sangat sibuk tapi bahagia. Saya perlu jalankan tiga tanggungjawab serentak iaitu sebagai seorang artis, isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata, Ahmad Afif Danial, 8. Tapi saya gembira kerana suami saya sentiasa menceriakan hidup saya.

"Joey seorang lelaki yang sangat kelakar. Dia suka bagi saya ketawa. Apabila saya berasa tertekan, dia akan menaikkan semula semangat saya. Setiap hari dia buat begitu dan sering memberi kata-kata semangat kepada saya. Sebab itu saya simpan gambar dia dan anak dalam kereta," tutur Watie yang mengatakan Joey dan Afif sentiasa menjadi keutamaannya.

Mengenai perancangan berkeluarga pula, mereka merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga pada tahun hadapan ketika Afif menginjak usia sembilan tahun.

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com