Zarina Anjoulie Akan Berkahwin Dengan Suami Orang



KUALA LUMPUR – Aktres yang tidak pernah lekang dengan cerita-cerita panas, Zarina Anjoulie Lavocah mahu bernikah secepat mungkin dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi yang selama ini begitu mengaibkan diri serta keluarganya.

Menegaskan kepada media myMetro.com.my, Zarina berkata, dia seolah-olah serik dengan pelbagai kisah yang memalukan mengenai dirinya dan berharap pernikahan tersebut bakal menamatkan segala tohmahan yang dilemparkan.

“Saya mahu cepat bernikah kerana itulah jalan terbaik. Tambahan pula saya harap dengan keputusan dibuat ini, saya tidak lagi dikaitkan de­ngan kontroversi yang boleh mengaibkan.
“Kalau selepas bergelar isteri ada lagi orang nak cerita buruk mengenai saya terutama mengaitkan dengan mana-mana lelaki, saya tidak tahu hendak kata apa lagi.

Selain itu, Zarina juga memaklumkan bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinannya dengan seorang lelaki, namun enggan didedahkan identiti kepada khalayak umum untuk mengelak dari menjadi bahan fitnah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengannya.

“Saya sama sekali tidak mahu mendedahkan siapakah bakal suami kerana takut nanti apa yang berlaku kepada bekas tunang turut berlaku kepada bakal suami. Dulu saya silap, kerana mendedahkan tunang kepada umum.
“Niat saya baik dan tidak mahu hipokrit, tetap apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada orang dengki menyebarkan pelbagai cerita.
“Bukan itu saja, sehinggakan ada yang sanggup menghantar gambar saya sebelum ini kepada keluarga bakal mentua sehingga menyebabkan hubungan dijalin terputus. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mahu mendedahkan identiti bakal suami sehinggalah kami selamat bernikah,” jelasnya panjang lebar.
Bagaimanapun, artis seksi yang berusia 25 tahun itu mengakui bahawa bakal suaminya itu merupakan suami orang dan dia bakal bermadu.

“Walaupun benar dia suami orang, sekurang-kurangnya kami membuat keputusan yang betul. Lebih baik saya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat, asalkan apa yang kami lakukan kelak halal di sisi agama.
“Berbanding orang bujang bercinta sakan sehingga melakukan perkara di luas batas, ia lebih besar dosanya. Pada saya, keputusan baik yang mahu diambil ini sepatutnya mendapat restu ramai dan didoakan yang baik-baik saja buat kami berdua,” katanya lagi.

Selain itu dalam wawancara bersama media tersebut, Zarina turut meluahkan kekesalannya terhadap media yang lebih suka memberi fokus terhadap kontroversi dirinya berbanding kerjaya seni dan dia mengugut akan meninggalkan dunia seni sekiranya keadaan tersebut tidak berubah.
“Dalam segala banyak drama dan filem saya bintangi, orang tetap hendak memperkatakan kontroversi diri saya. Saya faham media memang mencari cerita sensasi tetapi dalam waktu sama, janganlah sampai ia menenggelamkan kerjaya seni saya.

“Waktu sama, orang kata saya sengaja menjual cerita sensasi untuk popular sedangkan bakat tidak seberapa. Sekiranya benar saya tidak berbakat, tidak mungkin pengarah dan produksi masih memanggil saya berlakon.
“Malah kepercayaan pengarah terhadap bakat yang saya miliki bukan calang-calang orang. Antaranya Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Mamat Khalid, dua pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik. Malah Yusry Abdul Halim juga percaya dengan bakat saya apabila menawarkan salah satu watak utama dalam filem Ular.

“Kalau selepas berkahwin perkara itu berlaku juga, saya sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan. Mungkin saya akan mengambil tindakan meninggalkan dunia seni dan menumpukan perhatian kepada suami dan rumah tangga,” ujarnya kesal dengan apa yang berlaku.
Zarina yang dilihat sering ‘terlepas cakap’ itu turut memberitahu bahawa bakal suaminya membenarkan untuk dia terus bergiat dalam bidang seni dan peragaan selepas bernikah nanti.

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com