Norish Karman Akui Pernah Lakukan Kesilapan
PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman atau Norish mengakui dia pernah menangis secara bersembunyi tanpa pengetahuan anak-anaknya kerana tidak tahan membendung kesedihan daripada pelbagai dugaan dan tohmahan yang menimpa dirinya.
Wanita yang kini berjinak-jinak dalam bidang nyanyian itu berkata walaupun pada mata kasar dia kelihatan tabah dan tidak tergugat dengan kisah-kisah duka yang silih-berganti, dia juga tidak boleh lari atau menyangkal perasaan sedih dan terkilan.
“Saya tidak terjejas secara luaran dan orang nampak seperti saya kuat untuk menghadapi kisah keruntuhan rumah tangga dan pelbagai fitnah yang mengaibkan, tetapi saya juga manusia biasa yang mempunyai rasa sedih dan kecewa.
“Saya pernah berduka dan menangis di belakang anak-anak tetapi Tuhan itu sentiasa ada untuk memberikan kekuatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Norish berkata dia lebih selesa untuk mengambil pendekatan positif terhadap apa yang berlaku. Katanya, kedukaan dalam hidup sebelum ini lebih mematangkan diri dan memberikan semangat untuk dia terus melangkah.
“Seperti yang pernah saya katakan, orang boleh menuduh apa sahaja tetapi tidakkah mereka fikir perasaan anak-anak dan keluarga saya?
“Bagi saya, fitnah dan tohmahan adalah resam dunia artis. Saya memilih jalan ini, jadi saya mesti hadapinya walaupun perit dan berat. Saya sedih apabila anak-anak yang terkena tempiasnya,” katanya.
Ibu kepada tiga anak ini berkata walaupun segelintir pihak tidak menyukainya dan menuduh pelbagai perkara tanpa mengetahui kesahihan sesuatu dakwaan itu, dia enggan ambil peduli dan lebih mengutamakan individu yang menyayanginya dengan ikhlas.
“Kalau ada tujuh orang yang tidak suka dan hanya ada tiga saja yang suka, itu sudah menjadi kekuatan buat saya. Saya kini hidup hanya untuk orang-orang yang mengambil berat dan menyayangi saya seadanya.
“Mengapa orang perlu menghakimi saya kerana saya tidak pernah menjatuhkan hukum pada orang lain? Saya akui pernah melakukan kesilapan dan belajar untuk menjadi lebih baik. Kebahagiaan saya kini adalah Tuhan, keluarga dan muzik saya,” katanya.
norish...i nk kahwin dgn u boleh tak? i tak boleh tidur lena, mandi tak basah dan makan tak kenyang semenjak i tatap wajah u kat tv. i think i dah fall in love kat you.
ReplyDelete