Steven Tyler Kembali Popular Gara-Gara 'American Idol'
SEJAK tahun lalu, nama Steven Tyler kembali berada dalam radar hiburan dunia. Semuanya gara-gara kemunculannya sebagai juri program realiti paling terkenal, American Idol 10 (AI). Belum mahu berhenti daripada menjadi pengkritik, bersama rakan jurinya, Jennifer Lopez dan Randy Jackson, Tyler kembali duduk di kerusi American Idol musim ke-11.
Walaupun sebelum musim ke-11 bermula ada terdengar berita bahawa Jeniffer Lopez tidak akan menyambung kontraknya bersama AI, namun hal itu berlalu apabila dia kembali duduk beriringan dengan Randy dan Tyler untuk mencungkil satu lagi bajat baharu daripada AI.
Kembaranya daripada seorang vokalis band terkenal yang cukup fenomena sejak ia ditubuhkan sekitar tahun 70-an, Aerosmith kepada menjadi seorang pengkritik telah mendapat respons yang pelbagai. Banyak sisi baharu lelaki berusia 64 tahun itu dibongkar - ironi, dia yang membongkar sisi hidupnya satu persatu, termasuk tentang ketagihan dadah yang menghancurkan kariernya kurang 10 tahun Aerosmith sukses.
Tanpa berselindung, Tyler juga memberitahu, dia yang memaksa pengurus baharunya mendapatkan dia kerja selepas masalah dengan anggota Aerosmith masih belum menemui kata putus. Padahal dari sisi anggota Aerosmith pula mengaku yang mereka akhirnya terpaksa mengugut dia dengan pengumuman bahawa Tyler bukan lagi vokalis mereka selepas gagal dihubungi. Dia juga membuat banyak masalah kepada band tersebut sepanjang mereka membuat konsert jelajah dunia pada tahun 2009.
LEGENDA. Seorang vokalis band rock Aerosmith, Steven Tyler kini membina reputasi baharu yang lebih bersih dengan menjadi pengkritik American Idol untuk dua musim iaitu musim ke-10 dan ke-11 yang kini sedang hangat ditayangkan di 8TV pada setiap Jumaat dan Sabtu.
“Saya paksa dia cari kerja untuk saya. Saya suruh dia dapatkan saya posisi pengkritik di American Idol musim baharu. Pembabitan saya dengan AI bukan untuk membuktikan apa-apa kepada Aerosmith, tapi saya cuma nak mereka tahu bahawa mereka juga susah kalau tanpa saya kerana saya boleh berdiri sendiri jika saya mahu,” ujar Tyler mengenai pembabitannya sebagai pengkritik program tersebut sekitar penghujung tahun 2009 yang lalu.
Di dalam AI, pemilik autobiografi Does the Noise in My Head Bother You? Around itu terkesan menjadi seorang pengkritik yang penuh humor. Kritikan yang keluar daripada mulutnya jarang kedengaran kasar atau sakarstik, sebaliknya ia bersifat toleransi.
Akui pemilik nama sebenar Steven Victor Tallarico itu, dia sengaja berbuat demikian. “Saya ada pilihan untuk berkata ‘suara awak tak sedap. tolong cermin diri bila pulang nanti.’ Tapi saya memilih untuk tidak memberi kritikan yang kasar kerana saya mempunyai anak.
“Bagaimana perasaan seorang ibu atau bapa yang mendengar anaknya dikritik teruk dan dia barangkali tidak akan pernah menyanyi lagi untuk diri sendiri misalnya kerana menerima kritikan buruk daripada saya. Sebab itu saya memilih untuk bercakap dengan bahasa yang lebih baik,” katanya yang memilih untuk lebih kelihatan diplomatik.
Hal itu juga didorong kerana dia sendiri pernah menjadi bapa yang tidak prihatin terhadap dua anaknya, Liv Tyler dan Mia Tyler kerana kesibukan bersama Aerosmith selain pengaruh dadah yang selalu membuat dia berada di luar paras normal.
Ditanya tentang persepsinya mengenai para peserta yang hadir ke sesi uji bakat, Tyler memberitahu, sepanjang dua siri tempoh menilai bakat baharu, terdapat banyak anak muda yang mempunyai bakat menyanyi namun tidak dilengkapi karisma yang akan membuat mereka bertahan dengan sepak terajang dunia hiburan.
Dia juga memberitahu: “Ini bukan soal mencari siapa yang menyanyi lebih baik. Itu yang saya beritahu penerbit kerana di luar sana, banyak orang yang boleh menyanyi dengan lebih baik. Sebaliknya seseorang itu perlu ada karakter. Macam orang menilai saya atau J.LO atau Randy. Mereka menilai kami secara pakej, dan itu yang kami cari dalam diri peserta AI.”
Dadah
Tyler kemudian memutar memorinya ke belakang. Beberapa bulan sebelum menyertai AI, pelantun lagu-lagu hit seperti Dream On, Walk This Way dan I Don't Want To Miss A Thing itu, kehidupannya masih bercelaru dengan keluar masuk pusat pemulihan untuk membebaskan diri daripada dadah. Gagal berkali-kali untuk bebas daripada najis tersebut, sebenarnya ia terletak kepada kemahuan dirinya sendiri.
Beritahu Tyler, dia telah terjebak dengan dadah sejak awal lagi bersama Aerosmith. Ujarnya ia (dadah) adalah perkara normal yang berlaku di dalam hidup semua orang pada era 70-an.
AEROSMITH kini masih tergantung sama ada untuk berbaik semula atau bubar.
“Lebih-lebih lagi apabila anda berada di dalam band seperti Aerosmith. Dengan album yang terjual berjuta unit, lagu yang membuat banyak orang kecanduan, kehidupan yang dipuja semua orang, apa lagi yang lebih hebat daripada tidak menggunakan dadah?”
“Sementelah pada zaman kami, tiada MTV misalnya dan kami perlu selalu berkelana untuk memperdengarkan muzik kami kepada semua orang dan kami bermain di tiga persembahan dalam masa sehari, saya memerlukan sesuatu. Sesuatu itu adalah dadah,” katanya yang mengambil dadah jenis kokain tanpa berselindung.
Namun hari ini, seperti mana dia memberi imej yang lebih sopan di kaca televisyen menerusi AI biar masih ‘liar’ dengan imej rock n roll yang telah sebati dengan dirinya, Tyler mahu mengembalikan kehidupannya sebaik mungkin.
“Sebenarnya, saya patut bersyukur dengan keadaan hidup saya sekarang dan penglibatan saya bersama AI. Saya terasa menjadi seorang yang lebih baik dan terasa sedang berada di antara kelompok manusia terbaik di dunia,” katanya penuh bahagia.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com