GOMBAK: Pelakon Ashraf Muslim, 30, akui sedang mencari keserasian dengan isterinya, Noor Dayana, 24, memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin pada 30 Ogos lalu.
Pasangan ini bernikah di Dataran Kaabah, Mekah yang dihadiri oleh 10 orang kaum keluarga kedua-dua belah pihak serta jemaah umrah.
"Kami dinikahkan oleh bapa Dayana. Selepas nikah, kami melakukan solat sunat nikah, tawaf sebanyak tujuh kali dan berdoa.
"Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya rasa perkahwinan saya lebih teratur dan semua kerja dilakukan bersama-sama.
"Dia selalu menceriakan saya dan saya menyenangi tutur kata, layanan serta tanggungjawab yang diberikan. Kami juga saling berkongsi masalah bersama-sama," ujarnya yang mengenali Dayana sejak setahun lalu.
Menyentuh tentang tempat tinggal, Ashraf dan Dayana terpaksa berpisah buat sementara waktu memandangkan isterinya sedang belajar di sebuah pusat pengajian di Melaka sehingga Mac tahun depan.
"Saya akan menetap di Kuala Lumpur manakala Dayana terpaksa tinggal di Melaka demi menghabiskan pengajiannya," kata Ashraf lagi yang pernah mensasarkan untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun.
Walaupun isterinya sangat pandai memasak terutama masakan Barat, Ashraf tetap mengharapkan agar Dayana belajar masakan kampung.
"Setakat ini saya sudah merasa lasagna yang dimasak olehnya, ujar Ashraf lagi.
Selain masakan, Ashraf akui tertarik dengan imej wanita solehah yang diingini selama ini.
Menyentuh tentang percutian bulan madu, pasangan ini belum merancang untuk melakukan aktiviti tersebut pada masa terdekat ini.
"Kami sudah sepakat memilih New Zealand sebagai lokasi percutian tetapi masanya akan ditetapkan kemudian selepas habis belajar," kata Ashraf yang sudah lama tidak berlakon.
Bukan sudah bersara dari lakonan, tetapi kerana sibuk dengan kariernya sebagai pengamal perubatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, di Kampung Sungai Pusu, di sini.
Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan pada 24 September ini, pukul 12 tengah hari di Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka dengan konsep Islamik Taman Raudhah.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com