Syafiq Teruskan Legasi Datuk Yusof Haslam Dalam Filem 'SAM'

KAMARUDDIN Siaraf (tiga dari kiri) dan Syafiq Yusof (bertali leher) sewaktu pelancaran filem Sam di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

LEGASI pengarah dan penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam tidak terhenti pada Syamsul sahaja. Setelah Syamsul berjaya mencipta kejayaan sebagai pengarah filem yang mencatat kutipan tiket jutaan ringgit, kini tiba pula giliran adiknya, Syafiq mencuba bakat dalam bidang tersebut.

Anak bongsu Yusof itu diberi peluang mengarahkan filem terbaru terbitak syarikat bumiputra itu berjudul Sam yang dikategorikan dalam genre thriller.

Menurut Yusof, dia menaruh kepercayaan terhadap Syafiq mengarahkan filem dengan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.6 juta itu biarpun anak bongsunya itu baru berusia 18 tahun dan tidak pernah mengarahkan filem cereka.

"Syafiq telah menunjukkan minat mengarah filem sejak kecil lagi. Dia pernah mengarahkan tiga episod drama bersiri Gerak Khas baru-baru ini.

"Hasil kerjanya memuaskan hati saya. Dia juga bagus dalam CGI (Imej Janaan Komputer).

"Ini adalah salah satu cara saya menurunkan legasi bidang pengarahan filem kepada anak-anak saya selepas Syamsul yang kini sudahpun bergelar pengarah filem yang semakin berkaliber," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas pelancaran Sam yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf itu, Yusof berkata, dia mahu Syafiq mengikut jejak langkahnya.

Bukan setakat mengarah, malah jauh di lubuk hati Yusof, dia mahu Syafiq dan Syamsul meneruskan usaha yang telah dijalankannya dalam penerbitan filem menerusi Skop Productions pada masa depan.

"Saya anggap Syamsul dan Syafiq sebagai pengganti saya sebagai pengarah dan penerbit dalam Skop Productions. Saya pun sudah tua dan biarlah legasi saya ini diteruskan oleh anak-anak saya yang masih muda," ujarnya.

Syafiq yang ditemui pada majlis itu tidak menafikan mengarahkan filem Sam merupakan satu tanggungjawab yang berat.

Tetapi pada masa sama dia mahu membuktikan kemampuannya dalam bidang tersebut.

Katanya, sebagai generasi baru dalam bidang pengarahan filem, dia berazam mahu membawa angin perubahan bagi mempertingkatkan lagi mutu dan gaya pengarahan dalam filem arahannya itu.

"Saya mewakili generasi baru. Gaya pemikiran, idea dan pengarahan juga tentunya baru. Perkara itu dapat dilihat apabila filem ini siapi dan kita boleh membandingkannya. Tentunya tidak sama dengan filem arahan pengarah lama.

"Kejayaan abang saya, Syamsul yang muncul sebagai Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia tahun lalu membuktikan hakikat tersebut. Ia memberi perangsang kepada saya untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.

Sementara itu, pelakon utama filem Sam, Shaheizy Sam yang melakonkan watak Sam berkata, dia tidak berasa kekok berlakon di bawah arahan Syafiq biarpun pengarah itu masih baru.

Dia menghormati walau siapa juga pengarah yang mengarahkan filem lakonannya termasuklah Syafiq yang jauh lebih muda.

"Saya hormati Syafiq sebagai pengarah. Ini kerana, dia memang tahu selok belok dalam bidang pengarahan filem.

"Bagi saya, setiap pengarah mempunyai gaya pengarahan masing-masing termasuklah Syafiq.

"Saya juga selesa berlakon di bawah arahannya. Saya tidak berasa tertekan atau kekok, jauh sekali menganggap ini adalah filem saya walaupun saya pelakon utamanya.

"Malah, jalan cerita filem ini tiada kena mengena dengan saya," jelasnya.

 Oleh ABD. AZIZ ITAR

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com