Hattan Sedia Terima Bekas Isteri Jika Ada Jodoh



Hattan tidak menolak seandainya ditakdirkan bersatu kembali dengan bekas isterinya, Arianie selepas enam tahun bercerai.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 46, mengakui tidak kisah seandainya ditakdirkan bertaut kembali dengan bekas isterinya Arianie Mohd Abidin selepas enam tahun bercerai.
Hattan berkata, dia kini telah bersedia untuk berumah tangga semula tetapi masih belum menemui calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri.
"Kesibukan saya dengan perniagaan dan cabang seni menjadi penghalang untuk mencari pasangan. Namun, saya akui sejak kebelakangan ini hubungan dengan bekas isteri menjadi bertambah rapat.
"Kami seperti malu-malu apabila berjumpa macam pasangan baru bercinta pula. Namun, tiada apa yang serius kerana kami tidak pernah berbincang apa-apa," katanya yang turut mendapat restu daripada anak tunggal mereka, Adam Eiman sekiranya mereka menjadi suami isteri semula.
Jelas penyanyi lagu Mahligai Syahdu ini lagi, antara doa utama yang dipohonnya ketika mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini adalah untuk bertemu jodoh.
"Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, saya berdoa agar ditemukan seorang isteri yang baik dan solehah. Kalau diizinkan saya mahu berkahwin pada tahun ini.
"Terus-terang saya tidak kisah pun siapa calonnya tetapi masalahnya memang tiada. Seandainya ada jodoh, saya sudah bersedia tetapi seandainya tiada saya reda," katanya.
Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13.
Pasangan itu bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Hattan dan Heliza bakal bergabung dalam majlis Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Beralih ke perkembangan terbaru, Hattan dan penyanyi Heliza (AF5) bakal terlibat dalam projek Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Hattan yang teruja dengan projek tersebut berkata, dia menerima tawaran itu kerana terpanggil untuk bersama-sama membantu mengumpulkan dana untuk golongan yang memerlukan.
"Saya sememangnya sering terlibat dengan aktiviti sebegini cuma ia tidak dicanangkan. Pada majlis YBIM nanti, saya akan membuat persembahan antara 5 hingga 10 lagu bagi mengumpulkan dana.
"Pada usia begini, sudah tiba masanya untuk saya berhijrah pada perkara-perkara kebaikan. Hijrah itu memadailah dalam diri saya iaitu menjaga tanggungjawab sebagai Muslim dan ketua keluarga.
"Saya masih Hattan yang dulu dan tidak perlu berlaku perubahan drastik pada imej pula," katanya yang sudah menghentikan bisnes produk Adam kerana lebih menumpukan perniagaan berkaitan dunia hiburan.

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com