Kumpulan 'JAMBU' Semakin Mengganas!!
PERSAHABATAN yang terjalin lebih 10 tahun telah membuka peluang kepada Yus dan Taukeh untuk mengangkat mereka ke peringkat lebih tinggi.
PROGRAM realiti popular masa kini, Maharaja Lawak semakin menghampiri ke kemuncaknya. Jika tiada aral melintang, malam kemuncaknya bakal berlangsung pada 24 Jun ini di sebuah lokasi yang masih belum ditetapkan.
Tiada siapa pernah menyangka Maharaja Lawak telah mencetus fenomena luar biasa mengalahkan program realiti yang sedia ada.
Harus diakui, populariti program ulung terbitan Astro Warna itu banyak dipengaruhi oleh nama-nama besar yang menyertai pertandingan yang menggabungkan juara serta finalis daripada program Raja Lawak musim pertama hingga kelima itu.
Namun, sejak Maharaja Lawak membuka tirainya pada awal April lalu, nama kumpulan yang satu ini dilihat semakin hari semakin mengganas sehingga mereka dianggap sebagai pesaing kuat kepada peserta lain termasuk nama-nama popular.
Kumpulan yang dimaksudkan ialah kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria atau lebih dikenali sebagai Taukeh.
Mungkin ada yang tidak tahu, kedua-duanya merupakan sahabat baik lebih sedekad yang lalu dan dipertemukan menerusi rancangan Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007.
Nasib menyebelahi Yusry atau dikenali dengan panggilan Yus apabila dinobatkan sebagai juara sulung program berkenaan manakala Taukeh pula sekadar menduduki tempat keempat.
Barangkali ada yang sependapat, di awal kemunculan Jambu, tiada siapa yang mempedulikan mereka kerana merasakan Jambu tidak cukup popular untuk setanding dengan nama besar lain seperti Jozan, Sepah dan Nabil.
Tetapi, kini semuanya telah berubah dan Jambu sekarang ini merupakan calon pilihan untuk bergelar juara sulung Maharaja Lawak.
Jambu bukan hanya memikat hati juri tetapi nama mereka juga kini mula meniti di bibir peminat yang sekali gus meletakkan kedudukan Jambu di tangga teratas.
Mungkin akan ada yang bertanya, dari manakah idea Yus dan Taukeh untuk menggelarkan diri mereka sebagai Jambu.
Semuanya bermula apabila kedua-dua mereka disatukan untuk membentuk sebuah kumpulan bagi satu tugasan berkumpulan sewaktu di Raja Lawak.
Namun, jelas Taukeh, ketika itu mereka memilih nama Joper yakni gabungan Johor dan Perlis yang mewakili negeri kelahiran Taukeh serta Yus.
"Daripada situ, kami merasakan mempunyai satu ikatan yang kuat untuk meneruskan gabungan ini seandainya satu hari kelak ia memerlukan kami berbuat demikian.
"Ditambah pula dengan keserasian antara kami yang wujud sekian lama membuatkan kami yakin untuk meneruskan perjuangan sebagai pelawak berkumpulan.
"Akhirnya peluang itu datang untuk Maharaja Lawak ini dan kami sepakat menukarkan nama tersebut kepada Jambu.
"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana penerimaan peminat terhadap kami yang membuatkan kami sebenarnya terkejut dan tidak sangka sama sekali ia menjadi sebegini besar," luah Taukeh jujur sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.
Yus juga sedar kejayaan yang dikecapi oleh Jambu setakat ini barangkali tidak menjadi kenyataan seandainya dia bergerak secara solo.
Baginya, bukan mudah untuk menjadi pelawak solo kerana ia memerlukan semangat dan tahap keyakinan yang cukup tinggi.
"Kalau berkumpulan lebih mudah kerana kita dapat berkongsi idea dan mengkritik antara satu sama lain demi kebaikan bersama.
"Alhamdulillah, saya mendapat seorang teman yang begitu memahami diri saya dan begitu juga dengan saya sehingga ia memudahkan kerja kami setiap minggu dalam memberikan persembahan.
"Tekanan itu tetap ada tetapi jika kita yakin dengan kemampuan kita, ia akan hilang perlahan-lahan. Saya akui tekanan memang cukup hebat untuk Jambu sewaktu minggu pertama Maharaja Lawak bermula.
"Bersaing dengan nama-nama popular membuatkan kami tidak meletakkan sebarang harapan kerana sedar dengan kedudukan kami.
"Tetapi kini, kami mula nampak, pengundi sudah bijak menilai lalu mengundi berdasarkan persembahan dan bukannya populariti semata-mata," ujar Yus dalam loghat utara sambil memberitahu akan meneruskan perjuangan Jambu bersama Taukeh selagi ada permintaan.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com