Datin Orkid Abdullah Dalam Kenangan





APABILA berkemundang lagu Penawar Rindu di corong-corong radio, nama Datin Orkid Abdullah lantas segera bermain dalam fikiran para pendengar sebagai pelantun lagu tersebut.
Tidak dinafikan lagu berkenaan sebenarnya telah membawa namanya berada pada kelas tersendiri sehingga menjadi pujuaan ramai pada era 60-an dan 70-an.

Kini namanya hanya tinggal kenangan setelah Orkid menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu akibat menderita penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil sejak tiga tahun lalu.
Semasa hayatnya, ramai yang cukup mengenalinya sebagai seorang penyanyi. Namun, sebelum bergelar anak seni, beliau sebenarnya seorang pendidik dan pernah bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Sri Mersing, Mersing, Johor.

Malah, minat dan bakatnya dalam bidang nyanyian sudah mula timbul sejak Allahyarham mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Harian di Johor sekitar tahun 60-an.
Pada masa itu, Orkid sekadar memenuhi undangan membuat persembahan pada hari cuti memandangkan beliau mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pengajiannya di maktab tersebut.

Apabila bergelar seorang guru, minatnya terhadap bidang nyanyian masih tetap diteruskan. Bagaimanapun, tanggungjawabnya untuk mendidik anak bangsa tidak pernah diabaikan sepanjang menjadi guru selama 20 tahun.



Sepanjang bergelar anak seni, beliau sempat melahirkan tujuh buah album serta sering membuat persembahan dengan Les Coasters, sebuah kumpulan kugiran yang cukup popular pada era tersebut.
Selain lagu Penawar Rindu yang masih lagi popular sehingga hari ini, Orkid turut dikenali menerusi beberapa buah lagu lain seperti Carilah Ganti dan Idaman Dara.
Setelah tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian, Allahyarham kemudiannya menghabiskan waktu terluangnya dengan menganggotai kumpulan Kawan.

Diketuai oleh Datin Azizah Mohamad (isteri Datuk A. Rahman Hassan), ia adalah sebuah kumpulan marhaban yang turut dianggotai oleh ramai artis veteran tempatan.
Salah seorang anggota kumpulan tersebut, Zalifah Ibrahim berkata, Allahyarham sememangnya antara artis veteran yang cukup aktif dan bertindak sebagai salah seorang ahli jawatankuasa.

“Memang Allahyarham sering mengikuti program marhaban dan berzanji. Biasanya, beliau juga yang akan mengetuai bacaan doa dalam kumpulan ini.

“Sepanjang mengenalinya apa yang saya lihat beliau adalah seorang wanita yang tidak banyak kerenah dan suka melakukan kerja-kerja kebajikan,” ujar Zalifah yang pernah bergelar penyanyi dan sering bersama-sama membuat persembahan dengan Allahyarham.

Berduet dengan Mawi 

Kepergian Orkid dalam pada itu turut dirasai seorang lagi artis veteran iaitu penyanyi Aspalela Abdullah yang sememangnya agak rapat dengan beliau.
“Allahyarham sememangnya seorang insan yang terlalu baik. Dia bukan jenis yang suka sindir-menyindir dan sering menjaga tutur katanya apabila berbicara.
“Malah, sekiranya dia mempunyai sebarang masalah, saya adalah tempat untuk dia mengadu dan sebab itu saya terlalu sedih setelah pemergiannya,” ujarnya dalam nada sayu.
Menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun, Allahyarham meninggalkan seorang suami iaitu Datuk Mokhtar Omar, 70, serta empat orang anak iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, Noor Shafri Mokhtar, 35, dan Nur Shafinaz, 31.

Pemergian Allahyarham Orkid sebenarnya turut membawa pergi satu kisah yang mungkin tidak diketahui ramai pihak iaitu mengenai hajat beliau yang tidak kesampaian.
Promoter persembahan pentas terkenal, Mas Omar berkata, antara hajat besar Allahyarham yang tidak sempat untuk direalisasikan ialah beliau mahu berduet dengan Mawi menerusi lagu Penawar Rindu.
“Kira-kira dua tahun yang lalu, Allahyarham ada menemui saya dan memberitahu beliau ingin berduet dengan Mawi dan meminta saya menguruskan perkara berkenaan.
“Kemudian saya telah berbincang dengan Mawi dan dia bersetuju. Namun ia terpaksa ditangguhkan kerana kesihatan Datin Orkid yang tidak mengizinkan sehinggalah beliau meninggal dunia,” ujarnya.

Al Fatihah Untuk Allahyarhamah!! 

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com