Pintu Hati Fasha Sandha Masih Tertutup Untuk Menerima Cinta Lelaki




TANGAN kiri itu tidak akan pernah berhenti mahu menarik mereka ke bawah. Hasad dengki umpama duri yang menemani perjalanan hidup mereka, namun Tuhan sentiasa berlaku adil kepada hamba-Nya. Ketika badai dan gelora datang menghempas kejam, Tuhan menganugerahkan kemuliaan dengan menyalurkan kekuatan luar biasa biarpun dugaan itu terlalu berat untuk digalas.

 Tuhan memberikan mereka cahaya untuk melihat setiap ujian itu dari sudut positif, tanpa sesekali membiarkan diri menyerah kalah.
Tuhan tidak akan menurunkan ujian berat jika hamba-Nya itu tidak mampu menanggung takdir yang tertulis.

Aktres sensasi, Nur Fasha Sandha Hassan ialah antara insan yang sering menerima rentetan ujian silih ganti. Siapa pun yang berada di tempatnya pasti akan tertanya, bagaimana Fasha, 27, menerima semua dugaan itu?

"Sehingga satu peringkat, saya menjadi manusia yang tidak lagi punya perasaan. Apa saja yang dugaan datang saya menerimanya tanpa secalit perasaan kesal dan kecewa," beritahu Fasha pada sesi fotografi yang menggandingkannya dengan Fizz Fairuz - finalis Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, baru-baru ini.

Tanpa perlu menyalahkan takdir, anak kelahiran Johor Bahru yang membesar di Pulau Pinang itu menongkah hidup mengikut arus yang membawanya. Tatkala dihimpit duka, Fasha akan segera menyisihnya. Dia cuma mahu mengenang segala yang manis dan membuang jauh setiap noda hitam daripada membekas di sudut hatinya. 

Usah merenung terlalu jauh, lihat saja perjalanan karier lakonan Fasha yang kembali mekar dengan satu persatu tawaran yang menguji karisma dirinya sebagai pelakon diserahkan. Sampaikan peminat tidak lagi mempedulikan segala kisah kontroversi yang melingkari dirinya, sebaliknya bakat Fasha terus disanjung. 



Buktinya malam ini, Fasha kembali lagi berada ABPBH 2010 atas kepercayaan diberikan peminat untuk berada dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular.

"Saya ambil positif setiap perkara. Orang yang menyenangi saya, akan menerima apa saja sama ada yang baik atau buruk. Tetapi jika diri mereka sudah disalut benci, sekalipun saya bentangkan seluruh kebaikan tetap keburukan yang dipandang. Saya tidak perlu berkecil hati kerana itu lumrah hidup, ada yang suka ada yang benci. Saya cuma mahu menjalani hidup ini dengan tenang, sampai masa kebenaran akan menyerlah," katanya.

Sinonim dengan acara prestij ABPBH kerana Fasha pernah empat kali menggenggam trofi kepercayaan peminat itu. Malam ini dia akan kembali untuk menyerikan detik bersejarah di Arena Of Stars, Genting Highlands sebagai penyampai trofi. Andai diimbas, tahun lalu memberikan cabaran besar kepada pemilik Chinta Salon ini apabila pencalonannya seperti tidak direstui segelintir peminat yang memberikan reaksi kurang selesa ketika namanya diumumkan dalam senarai Top 5.

"Saya tidak perlu terlalu mencuba untuk membuat peminat menyenangi saya.
Biarkan saja spekulasi itu terus mengalir kerana saya percaya, lambat laun kebenaran bersama saya. Untuk apa saya terus melayan perkara remeh yang menjejaskan tumpuan pada kerja lakonan dan perniagaan. Saya cuma mahu memandang ke depan dan usah membawa saya mengenang masa lalu yang tidak membawa apa-apa keuntungan," kata Fasha yang tiba dari Paris, pagi ini selepas hampir dua minggu menjalani penggambaran drama bersiri siaran RTM, 5 Tahun 5 Minit.

Duta Habib Jewel ini juga kembali meraih perhatian apabila kisah cintanya dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, berakhir. Ekoran insiden itu, peminat disajikan rentetan kontroversi apabila Fasha bertingkah di dada media dengan bekas isteri Jejai, Nora Danish untuk mempertahankan kebenaran.

Bagaikan tiada kesudahan, media maya pula menghebohkan cerita yang Fasha dan Jejai kembali bersatu. Namun saat isu itu diajukan, Fasha cuma membisu. Tiada sebarang penjelasan yang keluar daripada bibirnya. Dalam nada tegas, Fasha berharap kisah percintaannya dengan Jejai tidak kembali diungkit. Baginya tidak perlu lagi mengenang segala yang sudah berakhir. Hati Fasha juga sudah terkunci untuk kembali menerima cinta saat ini.

"Ramai cuba mendekati tetapi saya terlalu sibuk dengan undangan lakonan. Alhamdulillah, hidup saya masih seperti biasa. Saya tidak sunyi tetapi saya tidak tahu esok lusa bagaimana. Cuma apa yang dapat saya katakan, pintu hati saya masih tertutup untuk menerima cinta lelaki ketika ini. Tidak tahu kenapa, mungkin kerana saya sudah penat dengan apa yang dilalui dulu,” katanya. 

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com