Komposer Julfekar Didakwa Menipu
PERBALAHAN antara Julfekar dan penyanyi di bawah naungan syarikatnya, Millenium Art semakin panas dan saling tuding menuding antara satu sama lain.
Ini termasuklah komposer itu didakwa meminta wang membabitkan ratusan ribu ringgit dengan alasan untuk menerbitkan album tetapi hasilnya tidak kelihatan.
Dakwaan itu dibuat oleh Datuk Jeffry Rosman atau Emjay dengan menyatakan Julfekar sudah mengambil wangnya lebih RM200,000 konon untuk membiayai kos penerbitan album dan promosi. Julfekar juga didakwa kerap meminta wang daripadanya dan terbaru berjumlah RM70,000 juga dengan alasan untuk menyiapkan albumnya itu.
ARTIS naungan Millenium Art; Emjay, Syazwani, Syaz, Heela, Rush dan Acay tampil membuat aduan. Gambar kecil, Julfekar.
“Tujuh tahun lalu dia pujuk saya untuk buat album. Dia minta saya keluarkan duit sendiri, malah dia cakap tak payah tanda tangan sebarang kontrak sebab saling mengenali. Tapi cuma satu lagu saja iaitu Impian dihasilkan, itu pun dimuatkan dalam album kompilasi bersama-sama dengan artis lain,” katanya.
Emjay turut mendakwa Julfekar meminta RM39,800 bagi satu lagu yang dihasilkan dan terkejut apabila lagu yang diberikan kepadanya pula itu adalah milik penyanyi lain.
Meskipun sudah mempunyai empat singlenya sendiri, namun Julfekar dikatakan enggan menghasilkan album. Julfekar memberi alasan Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) tidak meluluskan penghasilan sebuah album jika hanya memiliki empat single saja.
“Dia ada 21 penyanyi tetapi tak boleh nak jaga. Cuma seorang penyanyinya saja yang Julfekar bawa ke sana sini. Sebenarnya dia ada agenda tersendiri nak tunjuk kepada artisnya sebelum ini bahawa dia boleh kawal ramai artis.
Artis-Artis di bawah naungan Syarikat Millieum Art milik Komposer Julfekar.
“Dia mempergunakan artis di bawah naungannya tanpa show, album mahupun single sebabnya nak tunjuk kepada artis terbabit yang dia boleh lahirkan ramai artis yang berbakat,” katanya.
Dua bakat baru Shahila Shariff atau Heela dan Mohammad Syahrul Mohammad atau Syahz turut mendakwa diperdaya oleh Julfekar untuk menghasilkan album namun sehingga kini tiada satu pun dihasilkan. Mereka juga mendakwa tidak diberikan sebarang persembahan pentas. Syahz mendakwa Julfekar menjanjikan setiap artis di bawahnya akan dihasilkan satu album setahun, namun hanya satu lagu untuk album kompilasi saja yang dihasilkan Millenium Art.
“Saya ada jumpa Julfekar minta salinan tetapi bermacam alasan yang diberikan. Sebelum ini, dia ada cakap kalau tak suka boleh keluar (dari Millenium Art) tetapi kena bayar RM25,000. Sudahlah kena bayar, tapi tidak boleh tanda tangan kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman lain selama enam tahun. Apa maknanya?
“Saya tidak pasti adakah ini ugutan? Dia suruh saya berhenti kerja sebab ada road tour tapi sampai sekarang tak ada sebarang show, bahkan hanya beri tumpuan pada seorang artis saja,” katanya.
Biarpun sudah ada ramai penyanyi di bawah naungannya, Julfekar dikatakan masih terus mencari bakat baru yang ingin menjadi penyanyi sedangkan dia sudah ada 21 artis yang tidak diberi perhatian dan pembelaan seadilnya.
Farawahida dan Julfekar juga pernah bergaduh besar suatu ketika dulu.
Seorang lagi bakat baru di bawah naungan Millineium Art, Heela juga terkilan dan kecewa kerana Julfekar sering tidak sopan ketika berdepan dengan artis wanita.
“Dia pandai memujuk dengan menggunakan kata-kata manis. Tapi apabila kehendaknya tidak boleh dipenuhi, dia akan menghambur kata kesat dan kasar. Jadi, macam mana kita hendak berbincang secara baik mengenai sesuatu masalah,” katanya.
Semua dakwaan tidak berasas
Julfekar menegaskan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya sebagai tidak berasas dan menganggap mereka hanya hendak mencari publisiti murahan.
Dakwaan daripada Emjay bahawa dia sudah mengambil wang sebanyak RM200,000 sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperbesar-besarkan bagi meraih perhatian masyarakat.
“Tak ada langsung RM200,000 itu. Dia sengaja nak buat cerita untuk mencari publisiti murahan. Saya tidak mahu ambil tindakan lagi sebab nak tunggu dan lihat apa lagi cerita yang mereka nak reka tetapi kalau sudah sampai kemuncaknya saya akan saman mereka,” katanya.
Malah Julfekar mendakwa meskipun tiada lagu baru yang dihasilkan kepada artis di bawah naungan syarikatnya, namun dia tetap mempromosikan mereka termasuk membuat penggambaran video klip.
Walaupun lagu-lagu mereka sudah popular tetapi Julfekar tetap mempromosikan artisnya supaya lebih dikenali dan menonjol, namun tidak menyangka ada pihak cuba menjatuhkan imejnya sebagai komposer.
“Pasal duit itu, tak ada langsung malah kalau benar dia ada keluarkan duit sebanyak itu untuk buat album, mana hitam putihnya? Tunjukkan bukti kepada saya. Takkanlah begitu mudah dia keluarkan secara tunai saya tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya.
Mengenai dakwaan Syahz dan Heela yang tidak diberikan salinan kontrak, Julfekar mendakwa Syahz tidak datang bertemu dengannya untuk mengambil salinan kontrak manakala Heela sudah diberikan salinan dua kontrak yang ditandatangani bersama itu.
“Syahz ada jumpa saya awal tahun ini katanya nak bekerja, jadi saya cakap tak apalah kalau macam itu tetapi dia tak boleh tanda tangan atau terbabit dengan mana-mana syarikat rakaman lain.
“Manakala Heela pula jumpa saya tahun lepas, cakap nak balik kampung jadi saya cakap yang sama, tetapi sebaliknya kedua-dua mereka menipu saya dengan buat kerja luar dan itu sudah melanggar kontrak,” katanya.
Menurut Julfekar, terdapat dua kontrak iaitu kontrak artis dan syarikat, malah kedua-dua kontrak itu sudah tertulis syarat yang perlu dipatuhi termasuk tidak dibenarkan membuat kerja luar tanpa kebenaran syarikat.
Meskipun tertekan dengan dakwaan yang dilemparkan kepadanya, namun Julfekar masih memberi peluang dan ruang untuk mereka tampil berbincang dengannya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
btl ker julfekar tu komposer penipu???
ReplyDelete