Shahira juga sanggup menaja pelamin yang direka oleh Butik Pengantin Inspirasi Cinta itu yang cantik dihias dengan bunga ros merah segar.
Bagaimanapun wanita itu tidak dapat hadir ke majlis pernikahan Aida dan pasangannya, Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain di kediaman pengantin perempuan di Taman Sierra Ukay, Hulu Kelang, Sabtu sebaliknya hadir pada majlis resepsi pada sebelah malamnya.
Jika mengikut perancangan, mereka mahu disatukan sebelum bulan Ramadan tetapi disebabkan mempunyai masalah dokumen perkahwinan di pejabat agama, maka perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan.
“Selepas kami mendapat kebenaran dari pejabat agama pada minggu lalu, terus kami menetapkan tarikh perkahwinan dan membuat persiapan dalam masa seminggu.
“Saya juga bercadang untuk tidak bersanding tetapi Sharifah Shahira beritahu mesti ada pelamin. Tentang penetapan tarikh nikah ni, setelah berbincang dengan seorang ustazah, dia berkata tiada halangan untuk bernikah pada bulan Ramadan. Lagipun, saya mahu merasai keberkatan dengan bernikah pada bulan ini,” kata pelakon drama bersiri Awan Dania itu.
Husfarid telah hidup menduda selama tiga tahun dan hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak iaitu Farish Nasha, 9, dan Danish Hazin, 7.
“Bagi saya, semua ini ketentuan Allah yang menemukan saya dengan Aida. Bagi saya, Aida bukanlah seorang wanita yang sombong, tidak materialistik, sentiasa merendah diri dan menjadi dirinya sendiri.
“Anak-anak saya juga dapat menerimanya dan saya lihat mereka mudah serasi, alhamdulillah. Saya tak kisah jika Aida mahu meneruskan kariernya dalam bidang lakonan selepas ini dan dia berhak membuat keputusan dalam hidupnya. Saya berharap semoga hubungan ini berkekalan,” kata Husfarid yang berkhidmat dalam MAS selama 16 tahun.
Setelah menjanda selama lima tahun, Aida juga seperti wanita lain yang ingin dicintai oleh lelaki. Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan penerbit program, Bob Azrai namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun.
“Hati saya ringan untuk menerima dia (Husfarid) sebagai suami kerana dia betul-betul ikhlas untuk menerima saya sebagai isterinya. Tentang cahaya mata, saya terima dan berserah sahaja kepada rezeki.
“Saya juga tiada masalah untuk bergelar ibu ‘segera’ kepada anak-anaknya kerana saya mempunyai ramai anak saudara. Lagipun, saya sudah biasa berlakon sebagai seorang ibu. Jadi sebab itu saya tak perlu mengambil masa yang lama untuk mesra dengan kanak-kanak,” kata Aida yang baru mengenali anak-anak Husfarid dalam bulan ini.
Selepas ini, Aida akan memulakan kehidupan baru dengan keluarga barunya itu di rumah yang baru didudukinya sejak sebulan lalu.
Menyentuh tentang karier, Aida yang baru selesai menjalani penggambaran filem Senjakala itu dijangka akan membintangi sebuah telefilem selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada Hari Raya Pertama nanti, mereka akan beraya di Kuching dan Kota Kinabalu memandangkan Husfarid terpaksa bertugas di awan biru.
Ditanya tentang bulan madu, pasangan ini belum menetapkan lokasi percutian mereka sebaliknya akan memikirkan selepas Hari Raya nanti.
Majlis resepsi mereka berlangsung pada malam tadi di kediaman Aida dengan bertemakan warna merah dan putih. Arefen Zaidin bertindak selaku pereka persalinan untuk majlis nikah dan resepsi kedua-dua mempelai. Seramai 200 tetamu yang dijemput meraikan mempelai terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.
Buat sementara ini, mereka tidak pasti sama ada akan mengadakan majlis kenduri besar-besaran selepas ini. Yang penting, mereka mahu melaksanakan yang wajib terlebih dahulu.
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com