Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Sha'arin atau lebih dikenali sebagai Shahrin bekas anggota kumpulan muzik Blackrose selaku plaintif gagal membuktikan tentang lafaz cerai yang berlaku pada 22 September tahun lalu di rumah mereka di Petaling Jaya.
Ida hadir mendengar keputusan pengesahan lafaz cerai itu dengan ketiadaan Shahrin yang tiba lewat sehingga mahkamah selesai bersidang.
Kes berkenaan disebut di bawah Seksyen 55A Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Kos mahkamah masing-masing akan ditanggung oleh mereka.
Menurut peguam Shahrin, Mahyuddin Md. Zahari, anak guamnya itu sedang dalam perjalanan ke mahkamah ketika perbicaraan berlangsung kerana sebelum ini dia dimaklumkan kes tersebut ditangguhkan.
Sebelum itu, hakim telah memberikan tempoh setengah jam sementara menunggu Shahrin hadir ke mahkamah. Bagaimanapun, dia tidak tiba mengikut masa yang ditetapkan.
Ida yang hadir berkerusi roda enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui di luar mahkamah. Dia ditemani tiga rakan wanitanya termasuk aktres Nanu Baharudin dan Tania Khan (Amazing Race).
Pada 22 Januari lalu, Ida melalui peguamnya, Akhbardin Abdul Kadir bersetuju untuk diceraikan secara baik.
Ditanya sama ada Ida akan membuat permohonan untuk bercerai secara baik selepas ini, Akhbardin berkata dia belum menerima apa-apa arahan daripada anak guamnya itu.
Shahrin yang tiba kemudiannya terus menuju ke kantin mahkamah dan enggan memberikan sebarang komen.
Bagaimanapun, dia menerima keputusan hakim dengan tenang dan memerlukan masa untuk memikirkan perancangannya selepas ini.
Pada 23 November lalu, Shahrin turut memaklumkan kepada mahkamah yang dia tidak tinggal sebumbung dengan Ida sejak lebih dua bulan.
Pada Hari Raya Puasa kedua lalu, Shahrin didakwa telah melafazkan cerai terhadap pelakon filem ‘Susuk’ dan ‘Anak’ itu.
Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang berlanjutan sehingga Shahrin tidak mampu mengawal emosi sehingga melafazkan cerai terhadap Ida.
Pada 21 Jun tahun lalu, Ida Nerina yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ke-7 telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat terjatuh ketika berada di rumah.
Kemalangan itu berlaku ketika dia menaiki tangga di ruang tamu rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.
Ida, aktres yang dilahirkan di Middlesex, England berkahwin dengan Shahrin pada 2 Jun 2006. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan tersebut.
hasil perkahwinan itu mereka tidak mempunyai anak manakala Shahrin mempunyai dua orang anak iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8, hasil perkahwinan pertamanya.-mstar
0 comments:
Post a Comment
<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ
<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com