Isteri Kekasih Hanez Suraya Tarik Balik Tuntutan Fasakh

Tuesday, June 17, 2014 by
Hanez Suraya bersama kekasihnya Romie Razin Adilha Abd. Jais.

Nur Liyana Manan, isteri kekasih Hanez Suraya.



KLANG – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam membenarkan permohonan Nur Liyana Manan untuk menarik balik tuntutan fasakh terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd. Jais yang juga kekasih kepada pelakon Hanez Suraya.

Hakim Syarie Zainal Abidin Kusmin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam kedua- dua belah pihak yang terlibat dalam kes ini.

Peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Liyana sebelum itu memaklumkan bahawa anak guamnya dan defendan, Romie Razin Adilha bersetuju untuk bercerai secara baik.

“Namun, pihak-pihak terlibat belum lagi memulakan rundingan tentang terma-terma perceraian kerana defendan baru saja kehilangan ayahnya (tiga minggu lalu).

“Sehubungan itu, untuk tidak memberi tekanan kepada defendan, kami bersetuju untuk mencari ruang sesuai memulakan rundingan,” kata beliau yang turut dipersetujui peguam syarie Rubiah Jaafar yang mewakili Romie.

Menurut Kamar Ainiah, pihaknya akan memfailkan semula permohonan untuk bercerai secara baik di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Liyana, 29, sebelum ini selaku plaintif memfailkan fasakh terhadap Romie, 34, di bawah Seksyen 53 enakmen sama pada 1 Oktober 2013.

Zainal Abidin kemudian berkata, kes fasakh tersebut sebenarnya sudah selesai di peringkat soal balas dan sepatutnya diteruskan semalam dengan soal semula pihak plaintif tetapi berakhir dengan plaintif sudah menarik balik kes itu.

Katanya, mahkamah tidak mempunyai halangan untuk plaintif menarik balik kes terbabit, namun mencadangkan supaya pihak-pihak tersebut berbincang sekiranya masih ada ruang untuk berbuat demi- kian.

“Mahkamah masih beri ruang untuk plaintif dan defendan berbincang sebelum perkara ini (tarik balik kes) dimuktamadkan.

“Namun, peguam plaintif dilihat seolah-olah berkeyakinan perkara itu tidak berlaku, sebaliknya permohonan di bawah Seksyen 47 akan dibuat selepas ada perbincangan dan mahkamah tiada halangan,” kata beliau yang kemudian meluluskan permohonan plaintif untuk menarik balik kes fasakh.

Sejurus prosiding selesai, Liyana enggan ditemu bual media manakala Romie dilihat bergegas meninggalkan mahkamah.

Sementara itu, Kamar Ainiah ketika ditemui berkata, pihaknya akan menghantar notis penarikan balik tuntutan fasakh ke kaunter mahkamah, namun belum mempunyai tarikh untuk memfailkan tuntutan baharu.

“Pihak-pihak terbabit sedang dalam proses rundingan kerana banyak isu yang perlu dibincangkan termasuklah soal anak, nafkah dan harta sepencarian.

“Kita belum tahu bila mahu failkan (cerai talak), kalau tidak banyak syarat cepatlah. Tambahan, talak itu di tangan suami, kalau dia mahu cerai hari ini, esok pun kita boleh failkan tetapi mungkin lepas hari raya (Aidilfitri),” kata beliau.

Kes perceraian Liyana menjadi sensasi selepas Hanez Suraya didakwa menjadi orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga dengan Romie.

Hanez Suraya yang sebelum ini dikenali dengan drama rantaian Love You Mr Arrogant di saluran TV3 turut mendedahkan kekasihnya seorang duda sedangkan Romie ketika ini masih lagi suami kepada Liyana.

Liyana dan Romie mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan mereka.


Oleh WAZIHA WAHID

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com