Josiah Padilla Hogan Mahu Jadi Melayu

Sunday, April 22, 2012 by


KATA bidalan jangan hanya merenung dan menghakimi kulit luaran, sebaliknya dibelek untuk mengetahui isi sebenarnya. Begitu yang terlintas semasa pertama kali bertentang mata dengan Josiah Padilla Hogan. Saat pemuda ini masuk ke ruang temu ramah, penulis ragu-ragu tentang kebolehannya berbahasa Melayu.

Rupa-rupanya tebakan pertama salah. Josiah atau nama sebenarnya Mohamad Musleh malah boleh bertutur dialek Kelantan dengan baik. Katanya di Kota Bharu, dia dikenali dengan nama Mat. Nama gelaran yang senang disebut malah diingat khalayak.

Bukan hanya itu, kini dia memikul nama Kamil. Karakter yang menambat mata penonton siri Projek Pop yang kini disiarkan di saluran 8TV. Sebuah kisah kebenaran di belakang tabir. Ironinya dia jauh daripada sifat sebenar Kamil yang keras kepala, lupa diri dan bercakap slanga British.

"Kamil ialah orang hadapan grup Hot Snow yang merupakan grup besar di Malaysia. Sudah pernah jelajah satu dunia dengan grupnya yang membuatkan dia lupa diri. Saya seronok berada dalam produksi Projek Pop kerana cabarannya. Rata-rata pelakonnya ada asas lakonan. Jadi saya tercabar untuk jadi seperti mereka. Apa lagi saya perlu bercakap dalam slanga British dan banyak bermain emosi dalaman," ujarnya tentang Projek Pop yang disiarkan pada setiap Ahad pada pukul 10.30 malam.

Peluk Islam

Menurut Josiah, Projek Pop adalah satu landasan besar untuk mengembangkan bakat dan memperkenalkan namanya. Siri yang turut mengundang Adibah Noor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Hasnul Rahmat dan Liyana Fiz sebagai cameo ini dirasakan pengalaman yang sangat menarik kerana bekerja dengan tenaga produksi yang hebat dan melatihnya berlakon secara semula jadi yang mungkin.

Wajah dan namanya cukup hijau dalam arena bidang lakonan. Namun buat khalayak yang masih tertanya siapa jejaka berusia 26 tahun ini, mungkin yang mengikuti siri Bicara Hati terbiasa dengan wajah kacak ini.

Cerita Josiah yang senang disapa Jo, dia menjejakkan kaki ke Kelantan ketika berumur tujuh tahun. Berkelana dari Kings Ville, Texas, Amerika Syarikat (AS) mengikut ibunya yang memeluk Islam dan berkahwin dengan jejaka Kelantan.

"Saya masuk Islam pada usia empat tahun kerana mengikut ibu saya yang ketika itu berusia 24 tahun.

"Asalnya ibu ialah penganut Katholik yang kemudiannya berminat untuk mendalami al-Quran. Ketika umur saya lima tahun, ibu berkenalan dengan ayah tiri saya dan berkahwin setahun selepas itu. Pada tahun 1993, saya ke Malaysia bersama mereka," Jo bercerita tentang ibunya, Carmen Hogan atau Siti Khatijah.

Kehidupan di Kelantan dilalui secara normal. Bukan hanya pernah menetap di situ, Jo juga pernah berpindah ke Johor Bahru dan kini tinggal di Kuantan, Pahang.

"Sampai di Malaysia, saya dibesarkan dalam suasana kampung. Dalam masa dua bulan saya sudah fasih berbahasa Melayu sewaktu di Kampung Kubang Kiat. Pandai makan budu dan kecek Kelate," katanya.

"Awalnya pada usia yang sangat muda, saya tidak rela meninggalkan kehidupan di AS. Tetapi bila sampai Kelantan, saya hargai kehidupan kampung. Bagi saya kalau duduk di luar negara, peratusan untuk mati lebih tinggi. Di AS, tembak-menembak dan membunuh itu normal," syukurnya yang gembira menetap di sebuah negara yang aman.

Pernah pulang ke kampungnya di Texas pada sekitar tahun 2000, dia sempat dihujani pelbagai pertanyaan perihal Malaysia.

"Orang Amerika lebih tahu sejarah mereka berbanding dunia. Mereka tidak ambil tahu perihal negara Asia. Sempat juga saya bercerita dengan sanak saudara di sana yang nyata ada interpretasi dan gambaran yang salah tentang Malaysia," luahnya.

Mahu watak Melayu

Ujar Jo, kalau tidak ada penggambaran drama atau kerja di Kuala Lumpur, dia lebih senang menghabiskan masa di Kuantan bersama keluarga.

"Itulah saya. Di sana lebih tenang, saya gemarkan suasana pagi di sana. Saya juga menjaga orang tua saya di sana," ujarnya yang tidak mengejar kehidupan moden di ibu kota.

Dalam selang waktu berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur, dia mengaku pernah menganggur selama setahun pada tahun lalu. Tidak ada tawaran yang sampai kepadanya. Tidak kecewa, dia sedar akan kehendak industri namun itu bukan halangan untuk dia mencuba lagi.

JOSIAH gemar menghabiskan masa di Kuantan.

"Saya memang peminat filem dari dahulu. Saya juga gemar memerhati. Pada tahun 2009, saya sanggup jual kereta kerana mahu mencuba nasib di Hollywood. Saya sempat untuk uji bakat siri Mad Max arahan Goerge Miller namun bukan rezeki saya apabila pak cik saya yang tinggal di sana terpaksa berpindah. Saya akur," katanya yang kemudian muncul dalam siri Natrah di bawah payung KL Motion pada tahun 2010.

Daripada jejak itu, tunas minatnya terus bercambah. Membawa dia kepada rezeki Bicara Hati yang memberikan karakter Razif yang dianggapnya gabungan semua watak dalam satu.

"Razif orangnya emosional, psiko dan mudah menangis. Saya berterima kasih dengan kepercayaan Osman Ali kerana memberikan watak berat ini. Ini peluang saya menggilap bakat. Sebagai sutradara, Osman memang pentingkan emosi," ujarnya yang juga terlibat dengan beberapa drama dan telefilem sebelum ini.

Nasibnya juga baik apabila berpeluang muncul dalam produksi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. Bukan itu sahaja, Jo juga bakal muncul dalam filem Tyickoons bersama Aaron, Bront Palarae dan Remy Ishak.

"Saya mahu pastikan umum melihat bakat yang saya ada dan bukan kerana wajah. Sebab itu saya lebih mahukan watak Melayu dan saya pasti boleh melakukan kehendak karakter tersebut. Kurang gemar saya diberikan watak mat saleh kerana hakikatnya saya bukan mat saleh sebaliknya latino," jujurnya tentang karakter.

Grup sendiri

Tidak hanya melempiaskan ekspresi bakat dalam lakonan, Jo juga memiliki sebuah grup grunge yang dinamakan Maddame yang ditubuhkan pada tahun 2006.

"Maddame akan terus berada dalam dunia underground dan tidak akan pergi ke arus perdana. Kami sedang menyiapkan album dan mungkin dilancarkan pada Jun ini" ujar pemegang posisi gitaris dan vokalis ini.

Sudah siap sekitar 40 peratus, misi grup ini juga diletakkan berat pada penulisan lirik mereka.

"Saya banyak menulis lirik untuk menyeru peminat agar jangan terlalu terkejarkan keduniaan. Seperti dalam lagu kami yang bertajuk Fire Gate Borders saya bercerita tentang sempadan. Tidak usah ada sifat begitu kerana akhirnya semua perlu bersatu. Saya banyak bermain dengan metafora dan tidak ada kena-mengena dengan politik," ungkap Jo tentang pembikinan lagu dan album yang mahu dijadikan wasiat buat anak-anaknya kelak.

Satu persatu bidang sedang diterokai wajah baru ini dalam industri ini. Walau tidak laju namun memang dia memilih begitu. Bak kata pepatah, bagai tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga.

Kredit: Sumber

0 comments:

Post a Comment

<> Sila tinggalkan komen dan pendapat anda.TQ

<> Untuk sebarang pertanyaan,cadangan,kritikan,perkongsian berita artis dan pengiklanan.sila email ke: gosipsensasi@yahoo.com